Jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, mengakui tugas berat untuk membawa pulang mata dari Kuantan dalam aksi Liga Super menentang Pahang, malam esok.

Barisan serangan Pahang, menurutnya, cukup tajam dengan kelibat Dickson Nwakaeme dan bekas rakan-sepasukan bintang dunia, Neymar, iaitu Ze Love.

Malah, dua jaringan Nwakaeme, Jumaat lalu membuktikan sentuhannya masih berbisa, sekali gus memberikan amaran kepada barisan pertahanan TFC.

"Saya juga tahu Pahang berupaya membunuh lawan sekiranya Nor Azam (Azih) terlalu diberikan ruang manakala (Mohamadou) Sumareh dan Saddil (Ramdani) cukup licik di bahagian sayap.

"Untuk penyerang kami menembusi kubu mereka juga sukar kerana kehadiran pemain pertahanan tinggi lampai Pahang, Herold Goulun," kata Irfan.

Agak melegakan jurulatih berpengalaman itu ialah kembalinya Andrew Lee Tuck yang terlepas aksi pembukaan akibat penggantungan untuk bergandingan dengan Sanjar Shaakhmedov.

Dalam aksi pembukaan minggu lalu, TFC sekadar seri 1-1 dengan PKNS FC manakala Pahang gah membenam cabaran skuad Warga Kota, Kuala Lumpur, 3-1.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)