Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan, berhasrat untuk melihat baki tujuh perlawanan Liga Super membabitkan pasukannya berakhir sempurna dengan sasaran untuk meraih kedudukan empat terbaik apabila tamat musim 2019.

Bekas pemain kebangsaan itu menganggap ia bukan perkara yang mustahil.

Walaupun usaha untuk bersaing dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), tampak sukar, namun dua lagi slot, iaitu kedudukan kedua dan ketiga keseluruhan, masih relevan buat pasukannya.

Lantas, baki tujuh perlawanan lagi memainkan peranan penting buat Melaka jika hasrat itu mahu direalisasikan.

"Kami terlepas banyak peluang (terhidang) untuk meraih kemenangan ataupun seri.

"Inilah yang merugikan kami tetapi pemain harus faham bahawa masih ada baki tujuh perlawanan lagi.

"Kalau mereka berikan aksi terbaik, kami mampu menduduki kelompok empat terbaik Liga Super," katanya ketika ditemui di kediamannya bersama keluarga sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sebelum kembali ke Melaka, Sabtu ini.

Tegas Zainal, dia sudah boleh berlapang dada dengan beberapa pemain import yang mula membentuk keserasian dengan Melaka selepas jodoh dengan Liridon Krasniqi tidak panjang.

"Boleh dikatakan dalam tiga perlawanan yang lalu, kami telah menjaringkan banyak gol.

"Inilah perkara yang kami ketandusan selain perlu memperbaiki aspek disiplin di bahagian pertahanan kerana masih ada gol cuai yang diberikan," katanya lagi.