Bruno tiada masalah sertai TFC

Oleh Tengku Danish Bahri   6 April 2018 9516
Bruno tiada masalah sertai TFC
Penyerang import Terengganu FC (TFC), Bruno Suzuki Junichi, sedia menyahut cabaran beraksi bersama skuad Sang Penyu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia, musim ini.

Pemain kelahiran Brazil yang mendapat kerakyatan Jepun itu dipanggil menyertai pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim bagi menggantikan Lee Jun-hyeob yang diturunkan ke TFC II.

Sudah mengenali majoriti pemain TFC di dalam dan luar padang, Bruno menjelaskan dia teruja untuk membentuk gandingan mantap bersama pemain-pemain lain.

“(Kipre) Tchetche seorang penyerang hebat dan (Andrew) Lee Tuck ialah bekas rakan-sepasukan di Negeri Sembilan. Jadi saya yakin kami boleh menambah sengat jentera serangan.

“Meskipun ini kali pertama beraksi dalam Liga Super, tiada masalah untuk saya memberikan persembahan terbaik,” ujarnya.

Sambil menyifatkan rentak berbeza dilaluinya dalam Liga Perdana, Bruno mahu mengambil peluang untuk menyinar bersama TFC, sekali gus menjadi watak penting pasukan itu.

Malah, dia turut mengakui corak permainan diamalkan Irfan Bakti sesuai dengan kekuatan yang dimiliki TFC serta menjadi kelebihan untuknya segera menyesuaikan diri.

“Kualiti pasukan ini lebih baik. Kami dapat mencari keserasian dalam masa yang singkat,” tambah Bruno.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri  

Komen