Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt, menganggap bola sepak amat kejam selepas pasukannya tewas 0-1 kepada Petaling Jaya City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Kuala Lumpur hampir mengikat seri PJ City FC sepanjang 90 minit permainan sebelum pemain gantian, Safee Sali, meledakkan gol kemenangan tuan rumah dalam waktu kecederaan.

"Bola sepak adakalanya amat kejam.

"Kami bermain baik dalam 45 minit pertama, jadi saya fikir kami mampu untuk meraih tiga atau sekurang-kurangnya satu mata.

"Namun, selepas mereka menjaringkan gol kemenangan itu, kami terlepas peluang berharga.

"Jadi, ia adalah bola sepak," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih PJ City FC, K. Devan, beranggapan percaturan beraninya untuk menggunakan tiga penyerang pada 10 minit terakhir perlawanan membuahkan hasil selepas Safee berjaya memecah kebuntuan sebelum wisel penamat dibunyikan.

"Ia seakan-akan berakhir seri, namun saya mengambil risiko pada 10 minit terakhir.

"Saya mengeluarkan seorang pemain tengah dan memasukkan Safee Sali, jadi kami mempunyai tiga penyerang di depan.

"Mungkin kemasukan Safee membawa tuah buat PJ City," katanya.