Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini membawa makna berbeza buat Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir kerana ini kali pertama beliau menyambut kedatangan Syawal sebagai jurulatih skuad utama Selangor.

Nazliazmi mengambil alih tugas membimbing Selangor secara tetap pada April lalu selepas P. Maniam direhatkan selaku pengendali pasukan.

Berbeza dengan jurulatih-jurulatih Selangor sebelum ini, Nazliazmi bukan seorang jurulatih berstatus besar dan juga bukan seorang bekas pemain Selangor.

Namun, Nazliazmi adalah anak jati Selangor dari Klang dan dia beraksi selaku pemain tengah PKNS FC dari musim 2000 hingga 2009.

"Orang kata, jurulatih Selangor adalah platform untuk popular tetapi saya tidak menganggapnya begitu.

"Saya anggap ia pengalaman untuk saya. Saya juga dibantu oleh rakan-rakan jurulatih yang cukup berpengalaman. Saya juga mendapat sokongan penuh daripada pengurusan FAS (Persatuan Bolasepak Selangor).

"Saya sebenarnya tidak sabar untuk mencipta sejarah bersama Selangor, lebih-lebih lagi dalam peringkat separuh akhir Piala FA ini," ujarnya.

Sama ada beliau akan terus mengendalikan skuad utama Selangor musim depan atau kembali sebagai penolong, Nazliazmi tetap menganggap peluang mengendalikan Gergasi Merah sebagai satu penghormatan.

Dalam pada itu, beliau juga tidak akan menyambut Syawal dengan lama tahun ini kerana perlu segera mempersiapkan pasukan menghadapi Perak dalam Liga Super, Selasa ini.

"Saya seperti biasa akan menyambut hari lebaran bersama keluarga tercinta.

"Saya orang Klang, jadi saya beraya di sini dan kemungkinan pada raya kedua saya beraya di Terengganu tetapi itu pun saya hantar (keluarga) dan balik ke kembali ke sini kerana malam raya kedua, kami sudah mula berlatih," katanya lagi.