Bibi Ramjani mahu pimpin KAFA sehingga 2021

Oleh Farizal Yusoff 7 Ogos 2018 4317
Bibi Ramjani mahu pimpin KAFA sehingga 2021
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, bertegas tidak akan meletak jawatan, sebaliknya bertekad memikul amanah tersebut sehingga 2021.

Beliau tidak akan melayan sebarang sindiran atau desakan pihak tertentu tetapi mahu semua pihak menilai kejayaan KAFA melangsaikan hutang tertunggak dan berjaya mendapat lesen bermain daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bibi Ramjani menjelaskan pendiriannya itu sebaik sahaja mantan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa, mencadangkan individu yang tidak mampu lagi mentadbir badan induk itu supaya segera berundur.

"Datang bantu kalau betul-betul sayangkan KAFA. Saya pernah jadi penaja dahulu walaupun sedikit demi membantu bola sepak Kelantan.

"Tahun ini,  kami sudah selesaikan hutang dan mendapat lesen bermain daripada FAM walaupun bersyarat," katanya.

Dalam masa sama, beliau juga berusaha keras untuk memulihkan KAFA selepas dipilih dalam kongres pemilihan bagi penggal 2017-2021.

"Dulu, sebelum masuk bertanding, saya ada bertanya pandangan dia  (Annuar) terlebih dahulu.

"Jadi, tidak salah kalau mereka datang berjumpa saya dahulu dan bukannya mendesak persatuan bola sepak jajahan (PBJ) untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).

"Rasanya PBJ lebih rasional dalam isu ini dan berilah peluang kepada saya untuk terus berkhidmat sehingga 2021," tambahnya.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen