Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, tampak mahu memujuk Yusri Che Lah untuk menerima tawaran jurulatih The Red Warriors ketika mereka hampir pasti mengikat bekas jurulatih Syria, Fajr Ibrahim.

Susulan pemecatan Sathit Bensoh sebagai jurulatih Kelantan, 15 Februari lalu, KAFA telah mengenal pasti beberapa calon untuk mengisi kekosongan itu.

Antaranya bekas jurulatih Maldives yang juga bekas pemain Johor, Darren Stewart, dan Fajr Ibrahim, dengan kedua-duanya turut hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.



Namun, kejayaan sensasi Kelantan menewaskan Perak 3-2 hasil sentuhan Yusri di Kota Bharu itu tampak mengubah fikiran persatuan itu.

"Kami akan cuba mendapatkan jalan terbaik tetapi mahu memastikan tiada keputusan yang tergesa-gesa," kata Bibi.

"Buat masa terdekat, kami akan berbincang dengan pemain-pemain serta bersama Yusri mengenai hal ini."

Sementara itu, Fajr Ibrahim selaku calon pilihan untuk menerajui The Red Warriors enggan memberi ulasan lanjut, namun tampak teruja untuk menyertai barisan kejurulatihan pasukan itu.

"Tiada ulasan yang boleh saya berikan buat masa ini," kata Fajr.