Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, nyata gembira apabila The Bos Gaurus kembali menemui sentuhan kemenangan apabila membenam Negeri Sembilan 2-0 dalam aksi Liga
Super di Ipoh, semalam.


Ini hadiah paling menarik ketika pasukannya akan berehat untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini.

"Perak bercuti hari raya dengan prestasi terbaik. Saya sangat gembira. Dalam perlawanan sebelum ini, nasib tidak menyebelahi kami walaupun pemain menunjukkan prestasi yang baik.

"Jadi, malam ini pengorbanan mereka (pemain) berbaloi. Ia perlawanan yang diimpikan. Perak kini di tangga kedua liga,"jelas Durakovic.

Sementara itu, rakan sejawatan dari Negeri Sembilan, Mario Lemos, tidak mahu pasukannya mengalah kerana berpendapat liga masih lagi panjang.

"Tewas malam ini tetapi saya yakin kami akan bangkit. Memang ternyata lawan kami tentunya bukan pasukan kuat seperti Perak, JDT atau Pahang.

"Kami ke sini (Ipoh) dengan harapan sekurang-kurangnya dapat mencuri mata, iaitu dengan bermain dengan penuh disiplin tetapi kami gagal kerana Perak begitu gagah," ujarnya.