Selepas bertungkus-lumus menyediakan dan membentuk pasukan, kini tiba masanya skuad Sabah 'mengutip hasil' dengan cuba membawa pulang tiga mata dalam aksi pertama saingan Liga Super bertemu PDRM di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, malam esok.

Presiden persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, berkata beliau yakin dengan rencana ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto dan percaya dia memiliki strategi sendiri untuk berdepan The Cops.

"Kita telah berusaha semampunya dalam persiapan. Pengurusan, barisan jurulatih, pegawai-pegawai pasukan dan pemain telah melakukan tugas masing-masing dengan baik.

"Suasana dalam pasukan begitu baik dan mereka sudah bersedia sepenuhnya menghadapi perlawanan pertama ini. Kita sudah berkerja keras dalam persiapan dan esok adalah masa untuk pasukan mula kutip hasil...bawa balik mata penuh," katanya ketika ditemui, hari ini.

Peter berkata, kembali beraksi semula dalam saingan utama kancah bola sepak negara itu juga merupakan satu motivasi kepada pemain.

Kali terakhir Sabah dalam saingan Liga Super ialah pada tahun 2012 yang menyaksikan mereka jatuh ke Liga Premier pada musim berikutnya (2013) sehinggalah musim lalu (2019).

Mereka kembali ke Liga Super musim ini selaku juara Liga Premier musim lalu yang juga musim pertama Peter menerajui SAFA.

"Tahap saingan Liga Super tentunya lebih tinggi berbanding Liga Premier tetapi kita sudah bersedia dan anggap ia sebagai cabaran yang perlu disahut.

"Persiapan pemain telah dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto dan saya percaya beliau telah sedia dengan strategi terbaik memulakan saingan musim ini dengan baik.

"Kita perlukan keputusan positif awal sebagai pembakar semangat bagi menghadapi perlawanan-perlawanan berikutnya," kata Peter lagi.

Lapan belas pemain yang diterbangkan ke ibu negara bagi menghadapi PDRM ialah Rozaimie Rohim, Evan Wensley, Park Tae Su, Rawilson Batuil, Mohd Zubir Mohd Azmi, Randy Baruh, Mohd Azzizan Nordin, Petrus Shitembi, Dennis Buschening, Hector Omar Ramos, Rodoljub Paunovic, Wan Muhd Azraei, Dendy Lowa, Jenius Karib, Ummareng Bacok, Alto Linus, Mohd Azwan Fatah dan Hamran Peter.