Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar, menegaskan pasukannya tetap akan menampilkan aksi terbaik dalam saingan Liga Super menentang PKNS FC malam ini biarpun mereka berdepan misi lebih penting Sabtu ini.

Ketika ini, Kedah tampak lebih menumpukan kepada aksi Piala FA berbanding baki saingan Liga Super musim 2019 memandangkan peluang untuk menikmati kejayaan lebih cerah buat Lang Merah yang telah mara ke separuh akhir.

Namun, Baddrol menyuarakan pandangan berbeza apabila menganggap aksi Liga Super bertemu PKNS tetap penting buat Kedah.

"Kami masih kekalkan fokus untuk permainan ke setiap permainan lain. Jadi, kami akan berikan aksi terbaik, termasuk saingan Piala FA. Kami tidak mahu terlepas kedua-dua perlawanan tetapi apa yang penting, aksi malam ini," katanya.

Baddrol juga percaya kemenangan ke atas The Red Ants mampu menyuntik semangat pemain untuk menghadapi separuh akhir Piala FA.

"PKNS memiliki beberapa pemain yang bagus serta tonggak import berkualiti. Mereka memberikan saingan sengit tahun ini."

Kedah akan turun berdepan PKNS dengan skuad terbaik mereka selepas beberapa pemain utama yang sebelum ini menjalani penggantungan kembali memperkuatkan pasukan.