Rekod goyah Selangor kebelakangan ini tidak membuatkan jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah, berasa senang duduk kerana menyifatkan tekanan turut dirasai pihaknya selepas gagal meraih sebarang kemenangan sejak 7 Februari lalu.

Azraai, yang mengambil alih jawatan ketua jurulatih dalam tiga perlawanan terakhir, termasuk Piala FA, belum mampu memberikan sebarang kemenangan kepada Negeri Sembilan.

Mungkin berdepan Selangor yang tewas dua aksi berturut-turut dengan angka jaringan besar, ia kesempatan buat Negeri Sembilan keluar daripada kedudukan tercorot Liga Super.

Namun, Azraai tidak mahu mengambil kira prestasi terkini lawan, sebaliknya mahu pemain-pemain mempamerkan peningkatan selepas menolak tuah mengatasi Kelantan pada 14 April lalu.

"Kami telah menasihatkan kepada pemain-pemain supaya mengekalkan rentak permainan hingga hujung permainan kerana dalam beberapa perlawanan sebelum ini, kami telah digagalkan oleh lawan," kata Azraai.

Mengenai prestasi pemain, Azraai memberikan amaran kepada lima tonggak importnya, tiga perlawanan dilalui bakal menjadi medan penilaian terakhir sebelum pintu kedua perpindahan pemain dibuka, bulan depan.

Buat masa ini, bintang dari Korea Selatan, Kim Do Heon, pemain Kemboja, Prak Mony Udom, dan pemain tengah, Flavio Beck, berada dalam perhatian.

"Saya menjelaskan kepada pemain-pemain ini bahawa kami akan menilai dan mahu mereka menampilkan persembahan terbaik jika mahu kekal bersama pasukan," katanya lagi.

Imej: Asiana