Pemain pertahanan Kuala Lumpur, Mohamad Azmi Muslim, bertekad memburu mata apabila turun menentang PKNS FC, Sabtu ini, dalam misi meningkatkan kedudukan mereka dalam carta Liga Super musim ini.

Keputusan seri 3-3 ketika menentang Perak, kelmarin, menyaksikan Kuala Lumpur naik satu anak tangga dari kedudukan tercorot Liga Super untuk berkongsi lapan mata dengan Petaling Jaya City yang di kedudukan ke-10 ketika ini.

Azmi mengakui kejayaan mengikat Perak menjadi pemangkin motivasi buat barisan pemain bagi memburu kemenangan dalam aksi menentang Semut Merah itu.

"Keputusan seri itu satu suntikan semangat buat kami sebagai bukti peningkatan prestasi.

"Barisan pemain bertambah bersemangat untuk memburu mata agar kami tidak terus ketinggalan dengan pasukan di atas," katanya.

Pemain berusia 33 tahun itu berharap pasukannya mampu menajamkan jentera serangan dalam aksi kali ini selepas menganggap penjaga gol PKNS, Muhammad Zarif Irfan Hashimudin, semakin cemerlang di benteng terakhir skuad PKNS.

"Permainan Zarif semakin matang dalam setiap perlawanan.

"Kami akan cuba berikan aksi terbaik ketika menentang PKNS," tambahnya.