Abdul Aziz Yeop Jamaluddin dilantik sebagai setiausaha kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) untuk menggantikan Ahmad Shahrul Azhar Soffian, bukannya selaku pengurus pasukan Liga Super itu,.

Sehubungan itu, bekas pemain tengah The Bos Gaurus itu kekal memainkan peranan sebagai pengurus dan perkembangan itu secara tidak langsung menafikan spekulasi awal yang mengatakan semua jawatan Ahmad Shahrul digugurkan.

Presidennya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, berkata tindakannya melantik Abdul Aziz bagi menggantikan Ahmad Shahrul adalah selari dengan peruntukan perlembagaan persatuan iaitu dalam Artikel 34 2.6 (a), yang membenarkan presiden melantik sesiapa sahaja bagi mengisi mana-mana jawatan.

"PAFA menafikan kontrak Ahmad Shahrul Azhar Sofian sebagai setiausaha kKehormat ditamatkan, sebaliknya ia sekadar peralihan jawatan baharu ahli majlis tertinggi," ujarnya dalam satu sidang media di Bangunan PAFA di Ipoh, hari ini.

Dalam pada itu, Hasnul turut memberi jaminan bahawa pengurusan baru PAFA tidak akan mengganggu dan memberi kesan kepada mutu pasukan bola sepak negeri.

“Sebagai peminat, kita perlu bersikap rasional dalam menilai satu-satu isu. Tunggu kenyataan rasmi daripada PAFA. Jika dengar kenyataan daripada pihak ketiga, kita tidak tahu apa agendanya. Boleh jadi baik atau tidak," katanya.