Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, menerima pencalonan daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Julai depan.

Namun, Azim akan hanya kekal bertanding dalam Kongres FAM jika mendapat sokongan kuat daripada ahli gabungan negeri yang lain.

Azim juga mengakui akan bertemu dengan beberapa ahli gabungan negeri untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai sokongan mereka terhadapnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, adalah calon tunggal yang dicalonkan untuk jawatan presiden FAM.

"Ini bukan mengenai saya sendiri dan PBNP sahaja kerana saya perlu mendapatkan maklum balas daripada persatuan negeri yang lain.

"Kalau tidak mendapat sokongan padu, saya fikir tidak payahlah (saya bertanding merebut jawatan presiden FAM)," katanya.

Apapun, jika sah bertanding dan terpilih untuk jawatan presiden FAM, Azim tidak berasa terbeban untuk membahagikan masa selaku timbalan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan juga pengerusi ISN.

Ia berlandaskan pengalamannya dalam sektor korporat sebelum ini.

Meskipun kurang berpengalaman dalam pengurusan bola sepak, Azim tidak berasa ia masalah buatnya kerana apa yang penting adalah kecekalan mengurus sebuah persatuan sukan.

"Kita boleh belajar tentang bola sepak, ia pengetahuan yang boleh kita dapati dengan mudah.

"Namun, skil pengurusan yang boleh ditawarkan adalah lebih penting dan dalam dunia korporat, mereka amat peka mengenai ini," katanya lagi.