Azali tidak tertekan ganti Faiz

Oleh Tengku Danish Bahri 12 Disember 2018 4006
Azali tidak tertekan ganti Faiz
Pemain tengah Terengganu FC (TFC), Muhd Azalinullah Alias, bersedia mengisi kekosongan bekas tonggak, Mohd Faiz Nasir, yang berhijrah ke Selangor, musim depan.

Bakat Azali sering disebut-sebut pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim, yang percaya pemain berusia 22 tahun itu mampu menjadi bintang masa depan pasukannya.

Memiliki saiz hampir serupa, Azali menyifatkan dia mahu menjadi lebih baik daripada Faiz sambil berasa gembira dengan peluang menimba pengalaman daripada Irfan.

"Faiz sudah membuktikan pemain bertubuh kecil boleh bermain dengan baik. 

"Jurulatih ada menyuruh saya meningkatkan aspek fizikal tetapi teknikal juga penting," jelasnya.

2019 menjadi peluang terbaik bekas tonggak T-Team itu mencipta nama mengikuti jejak bekas rakan sepasukannya, Safawi Rasid, dalam kancah liga tempatan.

Beraksi dengan PJ Rangers dalam Liga FAM, musim ini, merupakan keputusan yang tepat dengan peningkatan prestasinya di bawah bimbingan Hassan Sazali Waras.

"Banyak yang dipelajari di sana. Walaupun sukar, saya akan berjuang untuk berada dalam kesebelasan utama TFC," katanya lagi.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen