Kejayaan PKNS FC menundukkan PKNP FC 1-0 dalam saingan Liga Super di Ipoh semalam melonjakkan kedudukan pasukan Semut Merah itu ke tangga ketiga terbaik.

Namun, pengendali PKNS, Datuk K. Rajagopal, lebih teruja jika pasukannya dapat memperbaiki kedudukan liga lebih baik berbanding pencapaian musim lalu, selepas sekadar berada di tangga ketujuh dalam saingan Liga Super 2017.

"Saya sedar kami sekarang berada di tangga ketiga dengan hanya berkelebihan satu mata daripada pesaing terdekat seperti Pahang, Kedah dan Terengganu, malah jika konsisten, mereka juga mampu menghambat Perak di tangga kedua.

"Namun, saya lebih realistik. Cukup jika PKNS berjaya menempatkan diri di kedudukan lebih baik berbanding musim lalu," ujarnya.

Bekas pengendali kebangsaan itu juga berasa lega kerana berjaya menewaskan pasukan tuan rumah
yang disifatkannya pasukan liat dalam saingan liga kali ini.

"PKNP satu pasukan yang bagus, penuh dengan disiplin dan dibintangi tenaga pemain yang tidak kenal erti putus asa.

"Dalam perlawanan sebentar tadi, nasib baik kami mendahului pada awal permainan dan selepas itu, terutama dalam separuh masa kedua, kami diasak bertubi-tubi oleh anak buah Abu Bakar Fadzim untuk cuba sekurang-kurangnya mengikat permainan, namun kami mampu bertahan," tambahnya.