Asrorov sudah pulang ke Ipoh -- Abu Bakar

Oleh Azizan Hashim 26 April 2019 12258
Asrorov sudah pulang ke Ipoh -- Abu Bakar
Pemain import PKNP FC dari Tajikistan, Siyovush Asrorov, sudah kembali ke Ipoh dan berkemungkinan besar akan diturunkan ketika pasukan itu menentang Perak di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam esok.

Bagaimanapun, ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, mahu terlebih dahulu menguji tahap kecergasan pemain itu sebelum membuat sebarang keputusan.

"Dia sudah lama tidak beraksi, jadi saya kena tengok kecergasannya dahulu sebelum boleh diturunkan," katanya.

Asrorov, yang pulang bercuti ke Tajikistan ketika waktu rehat antarabangsa bulan lalu, tidak dapat pulang ke Ipoh selepas liga bersambung..

Berikutan itu, dia tidak diturunkan dalam beberapa perlawanan liga, termasuk perlawanan menentang Batu Dua FC dan PDRM dalam Piala FA. 

"Dia baru pulang awal minggu ini dan saya akan tengok dahulu perkembangannya.

"Kami ada perlawanan besar menentang Perak sebanyak dua kali berturut-turut iaitu esok dan Selasa (suku akhir pertama Piala FA)," tambahnya.

Menurut Abu Bakar, bagi pertemuan dengan Perak malam esok, PKNP FC masih tidak dapat menurunkan dua pemain, iaitu G. Mugenthiran dan Filemon Standly.

Jurulatih itu berharap anak buahnya mampu mempamerkan persembahan terbaik agar impian untuk mengutip mata penuh tercapai.

"Memang perlawanan ini punyai nilai sentimental bagi pemain PKNP FC kerana akan menentang pasukan utama negeri Perak.

"Mereka berpeluang untuk menentang pemain yang lebih senior," ujarnya.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen