PERAK 2 NEGERI SEMBILAN 0

Tuan rumah Perak berjaya kembali di kedudukan kedua Liga Super selepas mengalahkan Negeri Sembilan 2-0 dalam aksi Liga Super di Ipoh, sebentar tadi.


Perak sukar menembusi gawang Negeri Sembilan di separuh masa pertama dengan kelibat penjaga gol, Muhammad Ilham Amirullah Razali, bertindak cemerlang menafikan beberapa percubaan merbahaya tuan rumah.

Perak mendapat peluang keemasan apabila percubaan Nor Hakim Hassan pada minit ke-12 dan Wander Luiz, seminit kemudian dinafikan oleh penjaga gol, Ilham Amirullah.

Negeri Sembilan tidak mengalah dan pada minit ke-25, hantaran lintang cantik gagal disudahi dengan sempurna oleh N. Thanabalan yang menyaksikan rembatannya palang gol.

Perak terus menekan dan Wander Luiz berjaya menggamatkan stadium tetapi jaringannya berada di dalam kududukan ofsaid.

Gilmar pula merembat cantik namun Ilham Amirullah cemerlang di gawang untuk menepis tendangan dan penyerang Perak itu sekali lagi gagal melakukan penyudah apabila tandukannya ditanduk keluar Mohd Aizulridzwan Razali di atas garisan gol pada minit ke-36.

Separuh masa kedua dimulakan dengan kedudukan masih lagi 0-0.

Akhirnya Brendan Gan berjaya memecah kebuntuan Perak dengan gol pada minit ke-55.

Perak terus berselera memburu gol tambahan dengan terus mengasak kubu skuad Jang. Pada minit ke-84, Perak mendapat tendangan percuma di luar kotak penalti dan sepakan cantik Leandro Dos Santos akhirnya menembusi gawang Negeri Sembilan.

Tambahan masa 3 minit diberi namun keputusan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.

KEPUTUSAN LAIN:

LIGA SUPER

MELAKA UNITED 2 K LUMPUR 4

TERENGGANU 2 PKNP FC 1


LIGA PERDANA

MISC-MIFA 2 SARAWAK 2