Bek kiri Terengganu FC (TFC), Arif Fadzillah Abu Bakar, mengakui menolak peluang kekal bersama Felda United serta tawaran PJ City FC untuk kembali ke negeri kelahirannya itu.

Bekas tonggak skuad B-23 negara itu menjelaskan sudah menjadi impiannya menyarung jersi hitam putih selepas lahir daripada produk T-Team sebelum berkelana ke Felda United.

Arif begitupun tidak menyangka diberikan peluang untuk kembali biarpun hanya semusim menimba ilmu di Stadium Tun Razak, Jengka, di bawah bimbingan Mohd Nidzam Jamil.

Tawaran dikemukakan TFC, menurutnya, terus diterima tanpa berfikir panjang bagi membuktikan kebolehan beraksi untuk negeri kelahirannya.

"Felda United ada menawarkan lanjutan kontrak tapi saya dah lama pasang niat untuk mewakili pasukan utama negeri selepas bersama T-Team dan TFC II sebelum ini.

"Jadi, apabila ada peluang ditawarkan jurulatih (Mohd Nafuzi Zain), saya tekad untuk kembali dan membalas kepercayaannya," katanya.

Kemasukan Arif menyaksikannya kembali bergandingan dengan rakan sepasukannya di T-Team, iaitu penjaga gol, Ilham Amirullah Razali, bek kanan, Mohd Kamal Azizi dan bek tengah, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris.

Tonggak berusia 23 tahun itu menjadi pemain tempatan pertama dibawa masuk Nafuzi ke skuad TFC bersama bekas ketua pasukan Perak, Nasir Basharuddin, semalam.

"Mengenali pasukan ini bukan tiket untuk saya mengambil mudah cabaran untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

"Saya akan memberikan komitmen serta kesungguhan untuk menjulang trofi pertama dalam karier," tambah Arif.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)