Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) kini dalam rundingan bersama ejen pemain import, Junior Aparecido, untuk mencapai persetujuan bersama penamatan kontrak kedua-dua pihak sebelum berakhir jendela kedua perpindahan pemain Liga Malaysia, 3 Jun ini.

Aparecido menjadi calon pilihan untuk digugurkan skuad Warga Kota susulan prestasinya yang gagal memikat pihak pengurusan.

Malah, bekas pemain import Selangor dan Sarawak itu sebelum ini sudah direhatkan dalam beberapa perlawanan terdahulu.

Begitupun, KLFA enggan terburu-buru untuk meleraikan ikatan bersama pemain itu bagi mengelak melakukan kesalahan berhubung penamatan kontrak.

"Dia antara pemain yang sedang kami semak prestasi dan kedudukannya. Kami juga terikat dengan perjanjian dan kami harus memastikan kami tidak melanggar perjanjian itu.

"Tetapi, dia juga perlu berlaku adil kepada KLFA. Kalau dia tidak beraksi baik, kami tiada pilihan dan perlu mencari pemain lain sebagai pengganti," kata Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Mohd Ikhsan.

Apa yang pasti, Skuad The City Boys sudah mempunyai calon pengganti kepada Aparecido, iaitu penyerang dari Belanda, Sylvano Comvalius.

Mengenai status penjaga gol, Sharbinee Allawee, KLFA kini menunggu laporan perubatan bekas penjaga gol negara itu, sebelum dipilih memperkuatkan benteng akhir pasukan bagi baki saingan musim ini.