Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, tidak akan menarik diri daripada perebutan jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bulan depan.

Annuar mengambil keputusan untuk bertanding selepas mengadakan pertemuan dengan pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi.

Dia akan menentang Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, yang menjadi calon pilihan berikutan dilaporkan menerima 18 pencalonan daripada ahli gabungan badan induk berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi calon, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, menolak pencalonan.

Dalam pemilihan 2017, Annuar turut menawarkan diri bagi jawatan presiden berdepan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, namun menarik diri daripada bertanding.

Bagaimanapun, kali ini Annuar bertekad untuk memastikan FAM kembali ke landasan sebenarnya dalam memajukan bola sepak negara, khususnya kualiti yang ada dalam skuad kebangsaan.

"Ini bukan soal pegang jawatan, kalau sesiapa nak pegang (jawatan presiden), silakan.

"Kalau seseorang itu boleh berjanji untuk membuat sesuatu di luar kebiasaannya, maka kami boleh bekerjasama.

"Lagipun, saya masih berhubung dengan Tunku Ismail dan beliau menghubungi saya semasa penyerahan borang pencalonan (tempoh hari).

"Malah, saya merancang untuk berbincang dengan Tunku Ismail kerana saya nampak beliau ada kesungguhan dan kemahuan.

"Kalau Tunku Ismail hanya dibiarkan berseorangan tanpa sokongan kita semua, tidak jadi juga.

"Bagi saya, kami cuba untuk bekerjasama sebagai sebuah pasukan dan pertandingan (perebutan jawatan presiden FAM) ini hanyalah perkara kedua," katanya.

Annuar pernah menyandang jawatan timbalan presiden FAM pada penggal 2010-2014, digantung selama 30 bulan selepas melanggar Artikel 88, Statut FAM.