Anderson teruja sertai Perak

Oleh Azizan Hashim 12 Januari 2019 1997
Anderson teruja sertai Perak
Muka baru dalam pasukan Perak, Zac Anderson, teruja dapat menyertai dan memperkuatkan pasukan juara Piala Malaysia 2018 itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia 2019 bermula bulan depan.

"Saya sangat teruja menyertai pasukan juara ini dan berharap dapat memperkuatkan pasukan ini dalam musim yang panjang dan mencabar kali ini.
  
"Kedatangan saya dialu-alukan oleh pemain lain dan pihak pengurusan juga sangat mengagumkan.

"Pastinya ini keluarga besar baru buat saya dan saya kini fokus untuk memastikan kecergasan dalam mengharungi musim yang mencabar ini," katanya ketika ditemui di Stadium Perak hari ini sebelum beratolak ke Alor Setar, Kedah, bagi menyertai edisi sulung Kejohanan Perisai Perpaduan menentang Kedah di Stadium Darulaman, esok.

Menurut pemain kelahiran Australia itu, dia sudah bersedia untuk mengharungi musim ini dengan banyak perlawanan mencabar bakal menanti.

Bekas pemain PKNS FC itu yang dijangka mengemudi benteng The Bos Gaurus tidak menjanjikan apa-apa, namun bertekad akan mencuba dan berusaha sebaik mungkin.
  
Anderson berpendapat Perak adalah pasukan yang kuat dengan mempunyai ramai pemain bagus, termasuk pemain tempatan yang mengagumkan.

"Saya sukakan suasana dalam pasukan ini, tiada ego antara semua pemain dan pengurusan bekerjasama dengan baik.

"Seperti yang sering diperkatakan Mehmet (Durakovic, jurulatih), kami adalah sebuah keluarga besar dan bagi saya, ia sangat penting sebagai pemain asing yang baru menyertai pasukan untuk memantapkan lagi pasukan dalam usaha mencapai kejayaan musim ini," katanya.

 Bercakap mengenai perlawananan esok, Anderson berkata Perak akan berusaha memenangi piala itu walaupun ia sekadar perlawanan pra-musim.

"Sudah tentu kami mahu memenangi perlawanan itu, namun ia bukanlah paling penting kerana ia hanya perlawanan pra-musim tetapi bermain sebagai pasukan Perak, setiap perlawanan adalah penting, terutama berdepan pasukan Kedah yang pernah saya wakili.

"Kami akan cuba sajikan persembahan terbaik," katanya. 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen