Amri tidak akan jatuhkan saya, kata Sathianathan

Oleh Staff Writer 11 Mac 2019 12328
Amri tidak akan jatuhkan saya, kata Sathianathan
Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, puas selepas pasukannya meraih kemenangan pertama Liga Super ketika berdepan Kuala Lumpur di Stadium KLFA, Cheras, semalam.

Kemenangan itu sekurang-kurangnya mampu menutup cerita kurang enak tentang status jawatannya.

Selangor menantikan kemenangan sulung itu selepas mengalami dua kekalahan dan tiga keputusan seri sebelum ini.

Situasi itu turut menimbulkan persepsi kurang enak terhadap kredibiliti Sathianathan dalam membimbing skuad Gergasi Merah itu sebelum mereka bangkit daripada ketinggalan 0-2 dalam separuh masa pertama untuk menewaskan Kuala Lumpur 3-2.

"Jika Amri (Yahyah) atau pemain-pemain lain mahu menjatuhkan saya, adakah mereka akan bermain seperti itu dalam separuh masa kedua?

"Jika ya, kami sudah pasti akan dibolosi sebanyak empat atau lima gol.

"Pemain tetap akan bermain dan saya perlu keluar (meninggalkan pasukan).

"Namun, saya akan menjadi kaya kerana saya akan menerima keseluruhan gaji saya.

"Jangan main-main dengan saya tentang isu direhatkan.

"Saya boleh katakan di sini yang saya tidak akan direhatkan.

"Saya akan tuntut segala-galanya sehingga kontrak saya tamat. Itu adalah tugas saya.

"Saya bercakap kepada pemain saya dalam babak kedua, mereka semua tidak perlu pergi, saya yang akan pergi.

"Mereka perlu bermain dengan baik," katanya.

Sementara itu, pemain berpengalaman Selangor, Amri, yang menjadi wira kemenangan pasukannya ketika menewaskan Kuala Lumpur, berharap semua penyokong tidak lagi menuding jari kepada Sathianathan sambil memberi jaminan dia dan rakan sepasukannya akan terus mempertahankan maruah Selangor.

"Apabila pasukan ini kalah, kita tidak boleh menyalahkan jurulatih kerana ia adalah kegagalan keseluruhan pasukan.

"Sebagai satu pasukan dan sebagai penyokong, kita perlu memberikan sokongan yang lebih baik.

"Saya dapat lihat kebanyakan pemain bergelut dan berharap dengan kemasukan saya dapat membantu dan menggalakkan mereka untuk beraksi lebih baik.

"Mereka telah membuktikan pada malam ini bahawa pasukan Selangor bukan biasa-biasa," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen