"Aksi malam tadi milik Mohd Rizal Fahmi," kata pengendali The Red Giants, P. Maniam.

Ia susulan jaringan cantik pemain pertahanan tengah itu pada minit ke-44 dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi, sekali gus menafikan hak Sarawak daripada meraih tiga mata.

Menurut jurulatih itu, gol yang diledak pemain yang berasal dari Tumpat, Kelantan, itu cukup menarik kerana Rizal berjaya melarikan bola ke kawasan lawan lalu menumpaskan dua pertahanan Sarawak sebelum meledak bola tepat ke sasaran.

"Ia jaringan yang pintar dan fantastik!" katanya.

Jaringan itu, katanya, juga menukar rentak permainan pasukannya yang sebelum itu agak tertekan setelah Sarawak mendahului melalui jaringan Mateo Roskam pada minit ke-33.

"Sarawak bermain dengan baik dan pemain kami gagal mendapat rentak sehinggalah dikejutkan oleh gol tuan rumah.

"Namun, setelah ledakan Rizal menjadi, pemain-pemain seolah-olah dirasuk semangat baharu dan 45 minit berikutnya adalah milik kami."

Dalam aksi malam tadi, Selangor bangkit daripada penguasaan Sarawak dengan meledakkan sekurang-kurangnya lapan percubaan tepat, namun ketangkasan penjaga gawang, Mohd Shahril Sa'ari, dan barisan pertahanan yang diketuai Ronny Harun menafikan peluang gol.

Malah, beberapa percubaan oleh pemain import, Juliano Mineiro Fernandes dan Victor Stelian Astafei, hanya menemui tiang dan palang.

Meskipun gagal mencipta kemenangan seperti dalam pusingan pertama, Maniam tetap berpuas hati.

"Kami mencipta banyak peluang dan pemain bermain baik dan penuh bersemangat.

"Kami boleh nampak kesungguhan mereka yang bermati-matian memburu gol. Itu satu kepuasan untuk perlawanan ini," katanya lagi.

Menjelang aksi seterusnya menentang Pahang, Maniam berharap pemain-pemainnya akan menemui rentak lebih awal.

"Kami ada 10 hari untuk bersedia dan akan menurunkan Andik (Vermansyah) dalam aksi itu kelak.

"Oleh itu, kami akan merancang sesuatu agar tiga mata dapat diraih," tambahnya lagi.

Keputusan semalam meletakkan Selangor di tangga keenam dengan 17 mata.