Konsistensi yang ditunjukkan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam setiap perlawanan merupakan faktor utama skuad Harimau Selatan itu mengekalkan keputusan positif sepanjang saingan Liga Super, musim ini.

Pengurus JDT, Luciano Figueroa, memuji pemainnya yang menghasilkan keputusan terbaik dalam 11 perlawanan liga di tempat lawan, daripada 20 perlawanan yang telah diharungi.

Daripada 11 perlawanan itu, JDT menang tujuh dan membawa pulang satu mata dari setiap perlawanan di Kuantan, Alor Star, Manjung dan Kuala Terengganu.

“Saya amat gembira dengan prestasi pemain, yang mempamerkan permainan cemerlang malam ini, dengan mengalahkan Kuala Lumpur 4-0. Tiada sebarang rahsia atas kejayaan pasukan kami kerana kami berusaha untuk mengekalkan gaya permainan dalam setiap perlawanan yang kami mainkan,” katanya.

Sementara itu, pengendali sementara Kuala Lumpur, Roslee Md Derus, mengakui kekalahan tersebut berpunca daripada kesilapan mudah yang dilakukan barisan pertahanan skuad Warga Kota itu sambil menambah JDT berada di kemuncak prestasi mereka.

Beliau, bagaimanapun, berkata pasukan berkenaan akan cuba mencipta kejutan ke atas finalis Piala FA, Perak, untuk aksi terakhir liga di tempat lawan 21 Julai ini dalam usaha untuk kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.

Kekalahan kepada JDT itu menyaksikan Kuala Lumpur menghuni tangga tercorot daripada 12 pasukan dengan 14 mata daripada 21 perlawanan.

"Kami tidak anggap kami sudah tiada harapan (untuk kekal dalam Liga Super musim depan), dan kami cuba meraih kemenangan dalam perlawanan terakhir. Berdasarkan perlawanan malam ini, kami cipta banyak peluang, namun tidak dapat menjaringkan gol.

"Kami kena terus berusaha walaupun kami ketinggalan dalam perlawanan terakhir nanti, dan saya kena berikan semangat kepada pemain supaya jangan putus asa,” jelas Roslee yang merupakan bekas pemain kebangsaan.

-- BERNAMA