PKNP FC menyifatkan pertemuan dengan Perak yang dinanti-nantikan peminat di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Sabtu ini, sebagai satu pertembungan biasa.

"Ia pertemuan di antara dua pasukan yang sedang bersaing dalam liga yang sama dan masing-masing mahukan kemenangan.

"Bagi saya, tiada apa yang sensasi walaupun ia dianggap 'derby' Perak," kata ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim.

Selepas melalui minggu suram berikutan kekalahan 1-2 kepada Selangor di Shah Alam, Sabtu lalu, jurulatih itu yakin pemainnya sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan ibarat "pertemuan abang-adik" itu.

"Saya berharap pemain mengambil iktibar daripada kekalahan itu dan keluar daripada kepompong kekecewaan untuk menghadapi perlawanan dengan Perak," katanya.

Jurulatih itu berkata PKNP FC menganggap mereka sebagai pasukan 'underdog' dalam pertarungan itu dengan menyedari kemampuan skuad bimbingan Mehmet Durakovic berkenaan.

"Perak adalah pasukan pilihan berdasarkan status mereka selaku juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super 2018.

"Justeru, perlawanan pasti berlangsung dalam suasana sengit.

"Oleh yang demikian, kami perlu berwaspada dan mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan yang akan memberi ruang kepada Perak.

"Kami akan berusaha untuk memberikan saingan kepada Perak kerana mahu mengutip mata daripada perlawanan terakhir pusingan pertama ini," tambahnya.

PKNP FC ketika ini berada di tangga kesembilan Liga Super dengan satu tangga di bawah Perak biarpun masing-masing mengutip 10 mata selepas 10 perlawanan.