Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, memberi bayangan ketiadaan tonggak utama, Akhyar Rashid, yang mengalami kecederaan menjelang kem latihan di Muscat, Oman, dari 1 hingga 10 Oktober depan.

Kem latihan pusat terpaksa dilupakan Akhyar bagi memberi ruang untuknya menjalani pemulihan kecederaan pangkal paha.

Hal itu membuatkan Hodak berfikir panjang untuk membawa Akhyar ke Oman memandangkan keutamaan untuk Akhyar kini adalah menjalani pemulihan terlebih dahulu demi kepentingan Kejohanan AFC B-19 di Jakarta, dari 18 Oktober hingga 4 November depan.

"Akhyar menanggung kecederaan ketika dia melaporkan diri.

"Adalah penting untuk dia hadir ke sini bagi membolehkan kami mendapatkan maklumat lanjut. Kami mempunyai tenaga pakar untuk menentukan berapa lamakah dia akan pulih.

"Dalam kes ini, ia amat mustahak memandangkan kelibatnya juga penting bagi Piala Suzuki AFF nanti.

"Oleh itu, sebaik menjalani ujian dengan ahli fisioterapi, barulah kami dapat mengenal pasti sejauh mana serius tahap kecederaannya.

"Dia mungkin tidak akan bersama kami di Oman nanti," kata pengendali kelahiran Croatia itu.

Dalam masa yang sama, khidmat Akhyar turut ditagih dalam skuad senior kebangsaan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe dalam rangka persiapan menghadapi Kejohanan Piala Suzuki AFF.

"Semua pemain sudah melaporkan diri tetapi kecederaan merupakan suatu perkara yang kami tidak dapat elakkan.

"Sudah tentu Akhyar sangat penting tetapi jika tidak boleh, kami perlu mencari seseorang untuk menggantikan tempatnya.

"Apa yang penting adalah kami dapat mengatur latihan dan persiapan yang baik bagi membentuk persefahaman yang baik.

"Kami akan menghadapi tiga perlawanan yang sukar tetapi saya perlu pastikan para pemain sudah bersedia kerana ini adalah kejohanan utama," tambahnya.

Akhyar adalah antara tonggak pilihan utama melibatkan pasukan skuad senior kebangsaan, skuad B-21 dan B-19.

Penampilannya dalam Piala AFF B-19 Julai lalu terencat ekoran terpaksa pulang awal akibat kecederaan bahu.