Skuad Terengganu FC (TFC) menerima khabar buruk selepas kehilangan khidmat ketua pasukan, Kipre Tchetche, akibat kecederaan ketika bertemu Melaka United, 13 April lalu.

Situasi itu menyaksikan TFC bakal mendapatkan khidmat penyerang pasukan 'adik', Akanni Sunday Wasiu, daripada TFC II dalam Liga Perdana.

Menurut jurulatih TFC II, Mustaffa Kamal Abdul Wahab, pihaknya diberitahu TFC mungkin memerlukan kehadiran Akanni, 34, bagi dua perlawanan Liga Super yang akan datang.

Mustaffa Kamal juga berkata bekas tonggak UiTM FC musim lalu itu masih bersama skuad kendaliannya sebelum disahkan menyertai latihan bersama Irfan Bakti Abu Salim.

"Akanni berkemungkinan hanya dipinjamkan kepada TFC untuk dua perlawanan bertemu Kedah (27 April) dan Pahang (1 Mei).

"Ia tidak menganggu persiapan kami kerana Akanni akan bersama TFC II untuk aksi menentang Pulau Pinang di tempat lawan, Selasa ini," jelasnya.

Ketiadaan Tchetche, penggempur prolifik dengan enam gol dalam Liga Super, untuk dua perlawanan Liga Super sudah tentu memberikan masalah buat Irfan yang kembali mendapat rentak kemenangan.

Sebelum ini, TFC mendapatkan khidmat dua pemain muda, Mohammad Haidhir Suhaini dan Muhammad Aliff Fitri Jefri serta tonggak import, Bruno Junichi Suzuki, daripada TFC II.