Aidil Sharin puas hati Kedah bangkit benam Melaka

Oleh Bernama 19 Mei 2019 802
Aidil Sharin puas hati Kedah bangkit benam Melaka
Keupayaan Kedah bangkit selepas ketinggalan pada separuh masa pertama melegakan ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak, dalam aksi Liga Super menentang Melaka di Stadium Darul Aman malam tadi selepas kalah kepada Selangor sebelum ini.

Aidil Sharin berkata kemenangan dalam menentang Melaka itu penting bagi meniupkan semula semangat pasukan untuk bertemu JDT pada penghujung bulan ini.

"Syukur kami dapat keputusan seperti yang diinginkan selepas pemain cepat belajar dan bangkit memperbaiki kesilapan dalam separuh masa kedua.

"Ia hasil kesungguhan semua pemain selepas jaringan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar, yang menaikkan semula semangat pasukan selepas kalah dengan Selangor sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan itu.

Beliau juga berpuas hati dengan prestasi pemain meskipun di awal babak pertama perlawanan, skuad Hijau Kuning kelihatan longgar dan sukar untuk menjaringkan gol.

"Alhamdulillah, pemain senior terus memberi motivasi kepada pemain muda dan tidak beri tekanan untuk mengatasi kesilapan dengan cepat dan menang perlawanan tersebut," ujar Aidil Sharin.

Beliau menjelaskan persiapan juga akan dilakukan secukupnya sebelum pertemuan seterusnya berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT), termasuk memperkemaskan pasukan.

Sementara itu, pengendali Melaka, Zainal Abidin Hassan, berkata dua kesilapan dilakukan pemain pasukan itu menyebabkan pemain skuad Lang Merah berpeluang menjaringkan gol, sekali gus meranapkan impian pasukan Hang Tuah itu memperoleh tiga mata di Alor Setar.

Katanya, keputusan itu sedikit mengecewakan memandangkan Melaka mendahului jaringan dan berharap pemain tidak melakukan kesilapan sama ketika bertemu Perak nanti.

"Walaupun tiga pemain tidak dapat diturunkan, pemain masih menunjukkan permainan yang baik, cuma dengan kesilapan itu kami tewas dan ia tak patut berlaku, tambahan lagi bermain di tempat lawan," kata Zainal.

Dalam perlawanan malam tadi, Kedah kembali menemui sentuhan kemenangan apabila memanfaatkan aksi di laman sendiri dengan menundukkan Melaka 2-1.

-- BERNAMA

Kredit foto: Facebook Kedah FA
 

Tentang Penulis

Bernama

Komen