Pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Radzak, gembira diberi peluang oleh pengendali, Benjamin Mora, untuk berada dalam kesebelasan utama ketika berdepan Pulau Pinang kelmarin, namun mengakui perlu meningkatkan lagi prestasinya.

Musim ini menyaksikan Aidil lebih banyak beraksi dalam Piala AFC berbanding saingan Liga Super.

Aksi berdepan Pulau Pinang adalah kali kedua dia berada dalam kesebelasan utama pasukan dalam saingan liga.

"Hari ini (Rabu lalu) baru saya dapat beraksi dalam kesebelasan utama dalam saingan liga. Saya ada melakukan beberapa kesilapan dan banyak lagi yang perlu saya perbaiki, terutama daripada aspek kecergasan," ujar Aidil.

Dalam pada itu, kapten dan pertahanan JDT, Marcos Antonio, tiada masalah bergandingan dengan Aidil mahupun Fadhli Shas di bahagian tengah pertahanan.

Marcos turut memahami pendekatan Mora yang menerapkan strategi penggiliran pemain.

"Apabila bercakap tentang jentera pertahanan, kita tidak menjurus ke arah siapa yang bermain di bahagian itu.

"Kita memiliki 11 pemain dan setiap pemain membuat sumbangan berharga. Kerana itulah, JDT adalah pasukan terbaik di Malaysia," kata Marcos.