Kedah seakan-akan sudah mengibarkan bendera putih bagi perebutan kejuaraan Liga Super musim ini apabila pengendalinya, Aidil Sharin Sahak, mengakui pasukannya tidak mampu beraksi secara konsisten.

Melaka mengejutkan Kedah dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Hang Jebat malam tadi selepas penyerang import dari Brazil, Anselmo Cassagrande, muncul wira skuad tuan rumah apabila menanduk masuk sepakan penjuru Safiq Rahim pada minit ke-49.

Skuad Sang Kancil itu sebelum ini tewas empat perlawanan dan seri satu selepas kali terakhir mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas pasukan tercorot liga, Kuala Lumpur, 3 Mac lalu.

Keputusan itu menyaksikan Melaka melonjak ke tangga kelima daripada ketujuh selepas meraih 14 mata daripada 10 perlawanan liga setakat ini manakala Kedah kekal di tangga keempat liga yang disertai 12 pasukan dengan 15 mata.

Jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, berpandangan pasukannya masih ada cacat-cela walaupun menamatkan badi tiga kekalahan menerusi kemenangan itu.

"Kami telah bermain dengan disiplin yang tinggi ketika bertahan tetapi beberapa kekurangan dipamerkan selepas memberikan banyak sepakan percuma kepada pasukan lawan," katanya.

Sementara itu, Aidil menyifatkan persembahan tidak konsisten sebagai sesuatu yang tidak boleh dielak ketika berdepan jadual saingan yang padat sementara barisan tonggak utama pasukan dibelenggu masalah kecederaan.

"Saya dan pasukan hanya bekerjasama selama empat bulan. Kami memerlukan lebih banyak lagi masa untuk mempertingkatkan mutu pasukan," kata Aidil.