Ahmad Faizal: Saya yang minta ditangguhkan

Oleh Azizan Hashim 15 Januari 2020 1319
Ahmad Faizal: Saya yang minta ditangguhkan
"Saya yang minta program itu ditangguhkan!"

Begitu kata Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengenai penangguhan program pelancaran jersi, pengenalan pemain dan sesi bertemu peminat skuad Liga Malaysia Perak yang sepatutnya diadakan Sabtu lalu.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak, berkata beliau meminta penangguhan program berkenaan kerana sedang berada di luar Ipoh untuk menyertai program bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

"Saya yang minta tangguh program itu kerana saya tidak berada di Ipoh pada masa itu. Ia tidak dapat dielakkan. 

"Apapun, kami akan adakan program itu dalam tempoh terdekat ini," katanya menjawab pertanyaan pemberita mengenai penangguhan program itu selepas Majlis Makan Malam Kejohanan Futsal Jemputan Antarabangsa di Kelab Golf Diraja Perak malam tadi. 

Tindakan PAFA yang membatalkan program itu dalam tempoh yang singkat menimbulkan rungutan orang ramai yang sudah ghairah untuk menyertainya. 

Malah, ia menimbulkan pelbagai spekulasi, termasuk masalah dengan penaja baru pakaian pasukan The Bos Gaurus, Jako. 

Presiden PAFA itu, bagaimanapun, enggan mengulas sama ada pengeluar pakaian sukan yang berpangkalan di Jerman itu masih menjadi penaja Perak. 

"Kita tengoklah nanti. Biarlah ada elemen kejutan barulah menarik," katanya.



Editor: Shaiful Shamsudin 
 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen