Seramai 16 ahli gabungan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menuntut badan induk itu melaksanakan semula kongres sebelum 31 Mei ini seperti yang diarahkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Salah seorang wakil ahli gabungan KLFA, Datuk Hazian Murad, berkata KLFA mempunyai prestasi pengurusan yang lemah selepas gagal mengadakan kongress ke-31 seperti yang dinyatakan dalam statut badan induk itu.

"Dalam kelab gabungan, anda perlu faham bahawa mereka duduk di bawah naungan KLFA. Jadi, kasih sayang sangat tinggi. Kalau KLFA digantung, tiada lagi dalam Liga Super, fikirkan apa nasib kelab gabungan. Jadi, masing-masing menyokong untuk kami teruskan apa yang dilakukan," kata Hazian.

Sementara itu, seorang lagi wakil ahli gabungan, Datuk Ramlan Askolani, berharap PJS dan FAM mengambil tindakan ke atas KLFA jika masih melengah-lengahkan keadaan.

"FAM dan PJS tidak boleh ambil ringan. Jika arahan sebegini boleh diingkarkan, ia memberi ruang kepada persatuan lain untuk melakukan perkara sama. Jadi, untuk apa undang-undang diwujudkan jika dipandang mudah," tambah Ramlan.

Terdahulu, kongres KFA sepatutnya berlangsung pada November tahun lalu, namun ia ditangguhkan oleh Pesuruhjaya Sukan ekoran bantahan dalam kalangan ahli gabungan yang tidak berpuas hati dengan pencalonan.