Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, mengakui kekuatan yang dimiliki pemainnya ketika ini melewati kecergasan yang meragukan ekoran majoriti daripada pemain yang diserapkan ke pasukan utama peringkat negeri dan kelab kurang mengharungi aksi kompetitif menjelang kempen Kejohanan AFF B-19, bulan depan.

Ini kerana mereka sekadar menjalani latihan bersama skuad utama tapi kurang mendapat peluang bermain.

Perkara itu menjadi kebimbangan Hodak mengenai kecergasan pemainnya yang dilabel tidak setanding pemain yang pernah dimiliki sebelum ini yang konsisten beraksi dalam saingan Piala Presiden.

Hal itu semakin ketara selepas mengharungi sesi latihan sejak 19 Jun lalu, ternyata banyak perkara yang perlu diperincikan Hodak dalam tempoh singkat.

"Benar, mereka tidak beraksi secara kerap, ini adalah masalah mereka dan saya juga.

"Mereka perlukan kecergasan permainan dan oleh yang demikian, mereka perlukan perlawanan.

"Mereka tidak diturunkan di peringkat kelab dan untuk kami mengadakan perlawanan persahabatan pula, kami kesuntukan masa.

"Kami hanya mempunyai tempoh tiga hari (untuk mengumpul skuad utama)," kata Hodak.

Sementara itu, masih ada lima pemain belum melaporkan diri dan hanya akan berbuat demikian tiga hari sebelum mereka ke Surabaya, Indonesia.

Hodak terpaksa akur dengan situasi yang dihadapinya ketika ini kerana alasan jadual saingan Liga Malaysia yang padat tidak lagi relevan untuk diketengahkan.

"Sudah terlewat dan ini sesuatu yang di luar bidang kuasa saya.

"Saya sudah cuba berbincang dengan pihak kelab, saya memahami jurulatih sementara mereka juga faham sebab saya mengambil langkah ini.

"Namun, saya perlu mematuhi peraturan," katanya.