Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Seri Adnan Md Ikhsan, tidak gentar jika ada pihak mencabar jawatannya menjelang pemilihan ahli jawatankuasa bagi penggal 2018-2022, malah beliau menyerahkan kepada ahli gabungan untuk membuat keputusan.

Perebutan jawatan presiden KLFA pada 18 November ini dijangka panas apabila dua calon berstatus Ahli Parlimen, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Datuk Mohd Rashid Hasnon, sudah menawarkan diri untuk bertanding.

Adnan tidak terkejut dengan situasi itu, namun hanya mahu mengingatkan sejak empat tahun lalu, beliau telah membawa skuad warga kota itu ke satu tahap berbeza.

Daripada Liga FAM ke Liga Super, Kuala Lumpur tidak pernah berdepan isu tunggakan gaji, malah mempunyai kemudahan lebih baik berbanding kebanyakan pasukan lain.

"Kami telah melalui empat tahun dan meningkatkan mutu pasukan. Jika diberikan peluang untuk kekal sebagai presiden KLFA, kami akan cuba melonjakkan lagi kualiti pasukan ke tahap yang lebih tinggi," kata Adnan.

Adnan turut mengesahkan beliau akan membuat keputusan ketua jurulatih 2019 sekiranya kekal selaku presiden.

Dua nama, iaitu jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, dan bekas pengendali Kedah, Nidzham Adzha Yusoff, dikaitkan bakal membimbing Kuala Lumpur musim depan.

"Saya buat masa ini telah mula membuat perbincangan bersama beberapa jurulatih yang bakal memimpin pasukan musim depan," ujarnya.