Penyandang Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Seri Adnan Md Ikshan, mempertahankan jawatan bagi penggal 2018-2022 selepas meraih lebih 60 peratus sokongan diperlukan daripada 30 ahli gabungan.

Selepas tempoh pencalonan ditutup Isnin lalu, 18 daripada 31 ahli gabungan menamakan Adnan selaku presiden.

Pencabarnya, Datuk Mohd Rashid Hasnon, hanya mendapat 12 pencalonan sementara satu ahli gabungan tidak memberi sebarang jawapan.

Berdasarkan peraturan, calon yang meraih pencalonan kurang 40 peratus gagal untuk bertanding dalam mesyuarat pemilihan, 18 November ini.

"Saya telah merujuk kepada beberapa pihak sebelum membuat keputusan, Datuk Seri Adnan Md Ikshan kekal sebagai presiden KLFA," kata Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa.

Bagi dua jawatan timbalan presiden, saingan sengit melibatkan tiga penjuru antara tiga Ahli Parlimen, iaitu Datuk Kamaruddin Jaafar, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahmad Fahmi Mohd Fadzil.

Menurut Nokman, beliau berharap pemilihan sengit KLFA ini akan berakhir dengan cara kekeluargaan tanpa ada unsur sogokan dan fitnah.

"Saya berharap tiada pengakhiran yang kurang senang apabila segalanya berakhir. Terdapat beberapa ugutan yang telah diterima tetapi saya enggan membuat laporan polis dan mengharapkan segalanya dapat dijalankan dengan lancar."