Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) mendapat lampu hijau untuk menggempur semua pemain Liga Malaysia pada bila-bila masa selepas penolong pengarahnya, Nishel Kumar, berpuas hati dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Perbincangan ADAMAS dan FAM sejak Januari lalu berjaya mencapai kata putus. ADAMAS dibenarkan menguji mana-mana pemain Liga M, termasuk di luar sesi latihan.

Ini bermakna 2,460 pemain bermula daripada saingan Piala Belia hingga ke Liga Super perlu memberikan kerjasama terhadap ADAMAS untuk membuktikan mereka tidak mengambil sebarang bahan terlarang.

"Sebelum ini, hanya empat sampel diambil berdasarkan aksi final. Selepas ini, ujian yang lebih banyak akan dijalankan kepada semua pemain dalam Liga M," kata Nishel Kumar.

"Ujian akan dijalankan pada bila-bila masa."

Menjelang Sukan Komanwel Gold Coast 2018, seramai 135 atlet negara sudah diuji yang merangkumi 76 peratus.

ADAMAS sedang menunggu keputusan daripada ujian makmal di New Delhi, India sebelum kumpulan pertama atlet berlepas ke Gold Coast, minggu depan.