Pemangku Jurulatih Selangor, K. Gunalan kini menganggap bekas pemain Harimau Muda, Adam Nor Azlin, antara sandaran utama pasukan itu bagi menghadapi saingan musim depan.

Gunalan akui, dia mengharapkan Adam tampil lebih matang musim ini untuk membimbing rakan rakan lebih muda dalam pasukan.

Penghijrahan ramai tonggak utama Selangor ke pasukan lain musim depan, menyaksikan Adam kini dianggap pemain senior bersama pemain berpengalaman lain seperti Razman Roslan dan Khairul Azhan Khalid.

"Penghijrahan ramai pemain membuka peluang buat Adam. Walaupun tahun lalu dia memikul tugas selaku 'super sub', saya rasa dia mampu menggalas tanggungjawab sekiranya membarisi kesebelasan utama musim depan.

"Dia seorang pemain serba boleh, tetapi saya akan menggunakan khidmatnya selaku 'attacking midfielder' atau 'backup striker'," jelas Gunalan.

Adam ketika ditemui turut menyuarakan kesediaannya tampil selaku pemain senior musim depan, walaupun 2017 hanya musim keduanya bersama skuad utama Selangor.

Pemain yang mampu beraksi di pelbagai posisi ini sedar, dia kini juga perlu sedia membimbing pemain-pemain muda dalam skuad Selangor.

"Insyallah, saya sudah bersedia untuk bertindak selaku penyerang utama. Saya perlu berkerja keras untuk memastikan prestasi saya di tahap maksimum.

"Bagi saya Selangor memiliki ramai pemain muda yang bagus dan patut diberi peluang untuk beraksi di Liga Super. Saya yakin mereka mampu membantu pasukan bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan," ujar Adam.

Dalam pada itu, sesi latihan Selangor pada Jumaat menyaksikan bekas pemain Kuala Lumpur, Azlan Zainal dan bekas pemain Sarawak G. Mahathevan terus menjalani ujian pemilihan.

Namun Gunalan masih belum memberi kata putus sama ada akan mengambil dua pemain itu.