Pemangku jurulatih PKNS FC, Adam Abdullah, tidak menyembunyikan rasa lega selepas pasukan kendaliannya berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Selangor, sekaligus mengekalkan tempat dalam Liga Super musim depan.

Berbaki tiga perlawanan, skuad The Red Ants turun di Stadium Selayang dengan misi mengutip mata penuh bagi memastikan juara Liga Perdana 2016 itu bukan sekadar 'singgah' dalam Liga Super tahun ini.

Dua gol daripada Shahrul Azhar Ture dan Patrick Wleh Ronaldinho cukup untuk memadamkan jaringan pemain import Selangor, Rufino Segovia.

Adam, yang memangku jawatan ketua jurulatih selepas E. Elavarasan direhatkan pada Julai lalu, berpuas hati dengan usaha serta komitmen yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya.

"Semangat berpasukan sangat kuat pada hari ini, pemain-pemain membuktikan bahawa PKNS mahu kekal dalam Liga Super dan itu yang dituntut oleh pihak pengurusan.

"Kami hanya meraih dua peluang dan ia digunakan sebaik-baiknya oleh pemain-pemain. Jelas sekali mereka beraksi sebagai sebuah pasukan," ujarnya.

Sementara itu, pengendali Selangor, P. Maniam, mengakui pasukannya terpaksa menanggung kekalahan selepas berlaku beberapa kesilapan sehingga membenarkan lawan mudah menjaringkan gol.

"Saya boleh katakan bahawa kami tidak bermain bermati-matian dan pemain-pemain tampak amat letih.

"Disebabkan itu, kami terpaksa menanggung gawang dibolosi dua kali hasil daripada kesilapan individu," kata Maniam.