Pertahahan import Kuala Lumpur, Achmad Jufrianto, akur digugurkan daripada skuad Warga Kota itu walaupun masih mempunyai baki kontrak hingga November depan.

Achmad terlepas beberapa aksi awal Liga Super disebabkan kecederaan pergelangan kaki.

Bekas pertahanan Persib Bandung itu gagal menunjukkan perkembangan positif untuk pulih dengan segera.

Situasi tersebut menyebabkan khidmat pemain berusia 32 tahun itu terpaksa ditamatkan walaupun kontraknya hanya akan berakhir hujung tahun ini.

"Saya sudah mencapai kata sepakat dengan KLFA untuk mengakhiri kerjasama ini.

"Saya tidak lagi bergelar pemain skuad Warga Kota kerana tidak mahu menyusahkan pasukan," katanya.

Ini bermakna Achmad menjadi pemain import pertama digugurkan dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Kuala Lumpur jelas pincang tanpa kudrat import di benteng akhir mereka yang menyaksikan pasukan itu dibelasah dua pasukan handalan, Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT), dalam dua perlawanan pertama musim ini.

"Saya dilanda kecederaan pergelangan kaki. Biarpun tahap kecederaannya tidak serius, ia memerlukan masa untuk pulih.

"Ia situasi kecederaan yang rumit kerana sesekali saya akan berasa sakit..

"Saya ingin menjalani pemulihan sepenuhnya sebelum kembali beraksi," tambahnya.