Ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, menuntut aksi terbaik daripada setiap pemainnya ketika melayani kunjungan Petaling Jaya City FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam esok bagi mengutip mata penuh pertama dalam kancah Liga Super musim ini.

Ia kerana Abu Bakar yakin anak buahnya berupaya untuk melakukannya selepas hampir mencatatkan kemenangan ke atas Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Ahad lalu.

Dalam perlawanan yang berkesudahan 1-1 itu, PKNP FC mendahului melalui jaringan Thomas Abbey pada minit ke-36 sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma membias daripada Coulibaly Yero pada minit ke-68.

"Kami sepatutnya mengutip mata penuh daripada perlawanan itu tetapi nasib tidak memihak kami.

"Saya mahu pemain melupakan kekecewaan itu dan menebusnya ke atas Petaling Jaya City FC.

"Pada dasarnya, kami sama tahap dengan mereka. Jadi, peluang untuk menang memang ada," katanya.

Bagaimanapun, Abu Bakar sedar tugasan itu tidak semudah seperti yang diungkapkan kerana pihak lawan yang dulu dikenali sebagai MISC-MIFA bukan calang-calang pasukan.

"MIFA sebuah pasukan yang kuat. Mereka memiliki khidmat lima pemain import serta beberapa pemain tempatan berpengalaman seperti K. Nanthakumar dan S. Subramaniam.

"Saya berharap pemain PKNP akan berusaha sedaya-upaya untuk menghasilkan kejayaan malam esok.

"Ia perlawanan kedua kami di tempat sendiri selepas tumpas 0-2 di tangan Kedah dalam perlawanan pembukaan, 3 Februari lalu," ujarnya.