Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, berharap anak buahnya tidak mengulangi kesilapan seperti ketika menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu, apabila melayan kunjungan Pahang di Seri Manjung, Sabtu ini.

Kesilapan benteng PKNP membolehkan pasukan Semut Merah itu menjaringkan gol terpantas dalam kancah Liga Super setakat ini melalui Kpah Sherman pada minit kedua.

"Ia kesilapan yang cukup merugikan. Akibat satu salah langkah saja, kami menanggung kerugian besar," katanya.

"Kecuali kesilapan itu, pemain telah berusaha untuk menyelamatkan permainan.

"Kami menyerang habis-habisan selama 80 minit tetapi nasib nyata tidak menyebelahi kami, termasuk tiga percubaan yang singgah di palang dan tiang gol."

Justeru, Abu Bakar mengingatkan anak buahnya supaya belajar daripada kesilapan agar tidak menjadi mangsa bahaman Pahang kendalian Dollah Salleh.

"Ini ujian paling getir. Pahang bukan calang-calang pasukan," tambah Abu Bakar.

"Mereka memiliki pemain import dan tempatan berwibawa serta belum kalah dalam empat perlawanan.

"Pemain PKNP tidak mampu melakukan sebarang kesilapan jika tidak mahu dihukum."