Ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, menyahut cabaran yang dilontarkan Presiden, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, supaya mengekalkan pasukan itu dalam Liga Super 2020.

"Saya dan pemain menyahut cabaran ini.

"Kami akan berusaha dalam baki tujuh perlawanan untuk selamatkan keadaan.

"Cabaran yang dilontarkan ini adalah adil. Saya pikul segala tanggungjawab itu.

"Ini adalah kali pertama saya mendapat segala yang saya pinta," katanya mengulas hasrat Zainol meletakkan jawatan sendainya PKNP FC turun ke Liga Perdana.

Zainol melontar cabaran itu semasa majlis iftar pasukan PKNP FC dan warga konglomerat itu di Hotel Casuarina@Meru, malam tadi.

Zainol berbuat demikian berikutan permintaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga Pengerusi PKNP, agar pasukan itu kekal dalam Liga Super 2020.

Menurut jurulatih itu, dia akan berusaha menanam kefahaman dalam diri pemain tentang kepentingan baki tujuh perlawanan.

"Kami akan turun dengan misi hidup atau mati dalam setiap baki perlawanan dalam usaha mempertahankan kedudukan selepas dua musim dalam Liga Super," katanya yang mengakui terasa bahang dan cabaran hebat musim ini.

Abu Bakar, yang juga pengurus pasukan, berkata PKNP FC musim ini membariskan lima import baru yang pertama kali beraksi dalam Liga Malaysia.

Selain itu, kedudukan empat pasukan terbawah iaitu dari kedudukan kelapan hingga ke-12 masih terbuka kerana jurang mata yang kecil.