PKNP FC terpaksa akur dengan kekalahan 2-1 kepada 'skuad abang', Perak, dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang, semalam.

Menurut pengendali PKNP, Abu Bakar Fadzim, pasukannya telah berusaha sebaik mungkin, namun tetap tewas.

"Kredit untuk pemain yang berusaha mencari gol walaupun ketinggalan dua gol dalam separuh masa pertama. Walaupun PKNP cuba bangkit dan memberi tekanan, Perak tetap kental mempertahankan gol yang dijaringkan.

"Kemasukan Nor Hakim Isa dan Deevan Raj menyaksikan corak menyerang dapat ditingkatkan. Hasilnya Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi menjaringkan gol bagi merapatkan jurang melalui lorongan Mohamad Hafiz Ramdan," ujar Abu Bakar.

Mengenai prestasi pemain importnya, Abu Bakar jelas masih lagi menanti persembahan yang sepatutnya daripada mereka.

"Sumbangan tenaga import PKNP sungguh terhad. Yeon Gi-sung masih kemarau jaringan
dalam saingan liga manakala Franklin (Anzite) selalu berada di luar posisi.

"Lihat sahaja gol Perak, pemain gagal menutup ruang dan ini dimanafaatkan dengan sebaik
mungkin oleh pihak lawan," katanya lagi.