Jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, mahu mengambil kesempatan di atas situasi semasa Kelantan yang sedang membentuk pasukan dengan harapan pasukannya tidak pulang dengan tangan kosong.

Menyifatkan pasukannya berada di landasan terbaik, Abu Bakar mengharapkan kunjungan ke Kota Bharu tidak berakhir hampa.

Seiring dengan rekod kemenangan 2-0 ke atas Kelantan tempoh hari, dia mengharapkan kejayaan yang sama mampu berulang di Stadium Sultan Muhammad IV.

"Dengan permulaan rentak yang perlahan sebelum mengorak langkah dalam setiap perlawanan, ia telah membantu kami untuk mara ke separuh akhir Piala FA dan kami mampu meneruskan gaya permainan ini bagi perlawanan akan datang," katanya.

Kelibat pemain import, Lyuben Nykolov, Yeon Gi-sung dan Ritus Krjauklis, masih belum berada dalam prestasi terbaik, namun Abu Bakar dapat melihat usaha yang cuba ditonjolkan dalam setiap perlawanan yang mereka tempuhi setakat ini.

"Saya melihat pemain import ini telah berusaha dalam setiap perlawanan tetapi kami masih gagal mendapatkan aksi yang konsisten."

Beraksi di laman lawan sudah pasti memberi kelebihan daripada segi kehadiran penyokong pasukan tuan rumah, namun Abu Bakar mahu mengubah situasi itu kepada sorakan positif untuk anak buahnya yang lebih bersemangat, malam ini.