Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, menganggap perlawanan menentang Selangor yang dibatalkan semalam mungkin memberi hikmah buat pasukannya setelah tidak dapat menurunkan penyerang import baru, Karl Max.

Max dan pertahanan dari Korea Selatan, Kim Sang Woo, merupakan pertaruhan baru dalam skuad PKNP ketika ini, namun penyerang itu masih belum menerima sijil perpindahan antarabangsa (ITC) daripada pasukan terdahulu, sekaligus tidak dapat disenaraikan ketika bertemu Selangor.

Bagaimanapun, pertemuan itu terpaksa dibatalkan susulan Stadium Batu Kawan mengalami masalah lampu limpah sebelum sepak mula perlawanan.

"Mungkin ada hikmah di sebaliknya kerana kami juga tidak dapat menurunkan seorang lagi pemain. Jadi, sebelum bertemu Selangor, mungkin kami dapat turunkannya.

"Ia adalah dua situasi yang berbeza kerana ketika sesi memanaskan badan tadi, saya dapat melihat pemain-pemain begitu bersedia untuk beraksi," kata Abu Bakar.

Proses baik pulih lampu limpah di Stadium Batu Kawan dijangka bakal mengambil masa sebulan dan situasi itu bermakna skuad PKNP perlu menggunakan stadium lain sebagai venue tuan rumah dalam tempoh berkenaan.

"Kami akan melakukan rayuan kedua untuk beraksi di tempat sendiri di Stadium Perak kerana bagi saya, jadual PKNP dan Perak tidak terganggu," tambahnya.

Sementara itu, jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir, mengharapkan fokus pemainnya tidak terganggu susulan pembatalan perlawanan dengan PKNP.

Dia mengakui anak-anak buahnya sudah bersedia untuk beraksi walaupun akan turun tanpa khidmat tonggak pertahanan, Willian Pacheco, yang digantung perlawanan.

"Malam ini kami akan meneruskan latihan, diikuti pada Jumaat malam dan mungkin corak latihan akan diubah sedikit untuk bertemu Kedah. Mereka mempunyai barisan pemain yang mampu menghadirkan kemenangan buat mereka.

"Kami juga tidak boleh mengalah terlalu awal kerana jika dilihat aksi bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini, kami dapat memberikan tentangan dan diharap aksi sama boleh diulang ketika bertemu Kedah," ujar Nazliazmi.

Selangor akan menerima kunjungan Kedah di Stadium KLFA, Cheras, Sabtu ini.