Abu Bakar harap anak buah bersemangat cekal

Oleh Azizan Hashim 14 Jun 2019 352
Abu Bakar harap anak buah bersemangat cekal
Abu Bakar Fadzim berharap pemain PKNP FC tidak membiarkan kekalahan 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Mac lalu berulang apabila kedua-dua pasukan bertemu semula di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam ini.

Walaupun mengakui hakikat anak buahnya bukan tandingan juara Liga Super lima tahun berturut-turut itu, Abu Bakar mahu kalah dengan bermaruah.

"JDT lengkap di semua bahagian dan memiliki segala kelebihan.

"Memang perlawanan ini sukar buat kami tetapi itu tidak bererti kami akan menyerah mudah.

"Pemain perlu cekal dan berani. Apapun boleh berlaku dalam bola sepak," katanya.

Jurulatih itu mengingatkan anak buahnya supaya mengawal ketat pemain-pemain import Harimau Selatan seperti Gonzalo Cabrera dan Diogo Luis Santo serta penyerang kebangsaan seperti Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.

"Sebenarnya, mereka miliki terlalu ramai bintang. Pemain PKNP FC perlu bekerja keras sepanjang 90 minit serta elak melakukan kesilapan," katanya.

Abu Bakar berharap pemain import seperti Yashir Pinto Islame, Pedro Victor Calil Sandoval, Amani Aguinaldo, Giancarlo Lopes Rodriguez dan Ramon Da Silva berupaya mengemudi pasukan itu untuk menyekat ombak serangan pelawat.

"Saya berharap kepada mereka untuk mewujudkan benteng mantap serta memanfaatkan serangan balas dengan sebaik mungkin," ujarnya.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen