Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, menerima satu lagi cabaran apabila dilantik sebagai pengurus pasukan itu.

Pelantikan Abu Bakar dibuat oleh Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, beberapa hari lalu dalam usaha melicinkan lagi pengurusan pasukan itu.

"Ia satu lagi cabaran dan tanggungjawab tambahan tetapi saya akur dengan pelantikan ini dan akan berusaha melaksanakannya dengan sebaik mungkin," katanya.

Abu Bakar menggantikan ahli perniagaan, Rizal Naizali, sebagai pengurus pasukan konglomerat itu yang menjalani penstrukturan semula tahun ini.

Mengenai kegagalan pasukannya mendaftarkan 20 pemain pada pendaftaran pertama, Abu Bakar menjelaskan perkara itu sememangnya dalam pengetahuan semua pihak terbabit.

Pasukan itu hanya mendaftarkan 18 pemain kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Selasa lalu.

Katanya, PKNP belum mendapatkan perjanjian sementara untuk dua pemain dari Perak, iaitu
Khairul Asyraf Shahizah dan Muhd Rafiq Faeez Muhd Fuad berikutan perubahan dalam Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

"Kami sudah memohon sijil perpindahan negeri (SPN) untuk kedua-dua pemain itu tetapi belum menerimanya lagi.

"Kami tidak boleh berbuat apa-apa, tambahan pula setiausaha agung PAFA juga sudah bertukar," jelasnya.

Jurulatih itu, yang sedang menyiapkan pasukan bagi menghadapi cabaran musim ini, berpuas hati dengan muka baru dalam pasukannya, iaitu Thomas Abbey, Siyovush Asrorov, Hafiz Kamal dan Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri.

"Mereka menunjukkan kesungguhan dan komitmen dalam latihan dan perlawanan persahabatan yang diadakan setakat ini," katanya.