PKNP FC memberi amaran kepada Coulibaly Yero supaya meningkatkan persembahan jika tidak mahu dikenakan tindakan.

Amaran itu diberikan pengurus merangkap ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim, berikutan persembahan longlai pemain Senegal itu dalam dua perlawanan.

"Tiada sumbangan besarnya kepada pasukan setakat ini.

"Cukuplah saya sudah beri dia peluang. Kini dia kena ikut cara saya pula," katanya.

Kesabaran Abu Bakar nyata sudah sampai ke hadnya selepas melayani kerenah penyerang tinggi lampai itu walaupun bersikap negatif.

"Saya beri dia sekali lagi peluang, iaitu perlawanan dengan Petaling Jaya City FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Sabtu ini untuk membuktikan kemampuannya.

"Selama ini, PKNP FC ikut kerenah pemain tetapi selepas ini dia kena tunai dan laksanakan tugas dan tanggungjawabnya kepada majikan.

"Jika tiada peningkatan juga, saya terpaksa gantikannya. Kami bukan ambil dia untuk makan angin, sebaliknya membantu pasukan.

"Malah, memang sudah ada calon yang berada dalam radar untuk menggantikannya," katanya.

Abu Bakar berkata dia sudah menyuarakan kekecewaan PKNP kepada pemain itu dan terpulang kepada Yero sendiri untuk membersihkan imejnya yang tercemar dalam kalangan rakan sepasukan.