Penangguhan Liga Super selama hampir tiga minggu akan dimanfaatkan oleh Abu Bakar Fadzim untuk memperbaiki kepincangan pasukan PKNP FC.

"Ini kesempatan untuk mengikat dan memperkemas bahagian-bahagian yang longgar.

"Memang masih banyak kepincangan dan kelemahan pada pasukan ini," kata jurulatih itu.

Walaupun kecewa dengan pencapaian barisan pemainnya yang sekadar mengutip satu mata daripada enam perlawanan, Abu Bakar belum berputus asa dan menyerah kalah.

"Tiada istilah menyerah kalah dan berputus asa. Selagi ada kudrat, saya akan berusaha memperbaiki kepincangan pasukan.

"Memang pencapaian PKNP di luar jangkaan berbanding tahun lalu tetapi kami kena terus bekerja keras," katanya.

Bagi jurulatih itu, persefahaman di antara pemain tempatan dan import juga belum jitu dan mantap.

"Pemain import PKNP terdiri daripada ramai muka baru dan tiada pengalaman beraksi dalam Liga Super.

"Mereka masih mencari rentak dalam pasukan dan memerlukan masa untuk itu.

"Yashir Pinto juga belum mendapat sentuhannya.

"Saya pikul tanggungjawab berikutan kesilapan mengambil pemain ini dan akan mencari pengganti dalam jendela perpindahan kedua nanti, " katanya.